Senarai Penuh Tayangan Filem Bulan September 2017
September 1, 2017
Animasi hebat
EL EMPLEO, Animasi Yang Memenangi 102 Anugerah di Seluruh Dunia!
September 5, 2017

Filem Patriotik Tempatan Sepanjang Zaman

Harapnya masih belum terlambat untuk Veedo mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Diharapkan keamanan yang dikecapi akan terus dinikmati sehingga ke anak cucu nanti.  Kali ini, Veedo ingin mengembalikan sedikit nostalgia atau gambaran sejarah terdahulu kepada anda. Berikut adalah 10 Filem Patriotik yang anda boleh layan  sempena bulan Kebangsaan.

1. Sarjan Hassan (1958)

Sarjan Hassan mengisahkan tentang watak Hassan yang dilakonkan oleh Allahyarham P. Ramlee. Hassan ialah seorang yatim piatu dan telah dijadikan anak angkat oleh majikan arwah bapanya. Apabila Hassan telah dewasa dan ingin menyertai tentera, hasratnya dihalang oleh bapa angkatnya. Hassan kemudian melarikan diri demi memenuhi keinginan untuk menjadi seorang askar dan berjaya mendapat pangkat Sarjan. Berlatar belakangkan babak Perang Dunia ke 2, Hassan mengetuai kumpulan platunnya dan mereka menghadapi banyak cabaran yang akhirnya membuahkan kejayaan.

2. Bukit Kepong (1981)

Filem yang memenangi lapan anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-3 ini mengisahkan tentang perjuangan pasukan polis dan masyarakat sekitar Bukit Kepong yang berjuang menentang komunis walaupun bilangan yang kecil. Juga berdasarkan kisah benar, konflik berlaku apabila berlakunya pertempuran pada tanggal 23 Februari di balai polis Bukit Kepong yang hanya mempunyai 18 orang anggota dan diserang oleh 180 orang pengganas.

3. Darah Satria (1983)

Filem ini mengisahkan tentang perjuangan 2 orang rakan sebagai tentera darat iaitu Leftenan Arif lakonan Aman Shah dan Prebet Badul lakonan AR Badul. Mereka berdua telah diberi cuti setelah berjaya di dalam beberapa operasi. Sepanjang percutiannya, Leftenan Arif telah bertemu dengan seorang gadis bernama Rafidah lakonan Lydiawati dan jatuh cinta dengannya. Rafidah ialah seorang ustazah di kampungnya dan akhirnya mereka berdua disatukan. Setelah berkahwin dengan Rafidah, Leftenan Arif tidak dapat meluangkan masa yang lama bersama Rafidah kerana tugas dan tanggungjawab terhadap negara.

4. Leftenan Adnan (2000)

Siapa yang tidak tahu kisah Leftenan Adnan? Turut diterbitkan dalam bentuk novel, kisah Leftenan Adnan juga menjadi pilihan pengarah terkenal, Aziz M. Osman untuk dijadikan filem. Filem ini mengisahkan tentang perjuangan Leftenan Adnan ketika Perang Dunia ke 2. Berdasarkan kisah benar, Leftenan Adnan ialah seorang wira negara yang berjuang habis-habisan menentang tentera Jepun. Kematiannya kerana diseksa dengan kejam pasti membuat anda menangis. Filem yang telah ditayangkan pada Hari Kemerdekaan pada tahun 2000 ini mendapat tempat dihati para penonton sehingga kini.

5. Embun (2002)

Filem yang berlatarbelakangkan perang ini menyelitkan kisah cinta antara karakter Embun dan Koishi. Embun ialah seorang gadis yang penuh dengan semangat patriotik untuk mempertahankan Malaya dari serangan tentera Jepun bersama abangnya, Bayu. Berlainan dengan gadis-gadis seusianya yang hanya tempatnya di dapur, Embun merupakan seorang gadis yang bebas pemikirannya dan tidak suka mengalah dengan hal dominasi lelaki. Namun segalanya berubah apabila Embun bertemu dengan Koishi, seorang leftenan Jepun. Kisah cinta terlarang itu bermula apabila Embun cuba untuk membebaskan Bayu yang ditangkap kerana membuat perhimpunan tunjuk perasaan terhadap kedatangan tentera Jepun. Filem Embun pasti tidak akan menghampakan penonton.

6. Paloh (2003)

Paloh juga tidak kurang menghampakan dengan selitan kisah cinta antara dua kaum. Mengisahkan tentang empat orang sahabat ketika era penjajahan Jepun dan krisis dengan Parti Komunis Malaya yang terpaksa hidup dalam ancaman dan tekanan. Percintaan antara Ahmad dan Siew Lan teruji apabila rupa-rupanya, Siew Lan dipergunakan oleh keluarganya untuk mendapatkan maklumat sulit dari Ahmad yang berkhidmat untuk polis Jepun. Manakala hubungan Puteh dan Fatimah turut bergolak kerana Puteh berkhidmat untuk polis Jepun. Nak tahu pengakhirannya? Jangan lupa tonton!

7. 1957: Hati Malaya (2007)

1957: Hati Malaya membawakan kisah sekumpulan anak muda yang bersemangat waja untuk menghasilkan buku bergambar tentang sejarah kemerdekaan Malaysia. Walaupun datang dari latar belakang yang berbeza dan mempunyai ideologi berlainan, mereka berusaha untuk menerbitkan buku bergambar 1957: Hati Malaya. Sepanjang kajian mereka, mereka mendapat pelbagai mesej rentetan peristiwa 1957 menuju kemerdekaan negara seperti persahabatan, kesetiaan, percintaan, ketabahan dan semangat cintakan negara.

8. Tanda Putera (2013)

Memaparkan kisah persahabatan antara dua figura terhormat negara iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail berikutan tercetusnya peristiwa berdarah Malaysia, 13 Mei 1969. Kedua-dua mereka terpaksa menyimpan rahsia tentang masalah kesihatan yang dihadapi masing-masing dari ahli keluarga demi menjaga keharmonian negara dan menyelesaikan konflik yang melanda antara kaum ketika itu.

9. Bravo V (2015)

Filem tema aksi/perang ini mengisahkan tentang lima orang anggota komando Tentera Darat yang berusaha melakukan operasi untuk membanteras Komunis. Ditujukan khas buat para pejuang negara yang telah terkorban dalam melindungi negara, kisah menyayat hati ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan institusi pertahanan negara untuk sesebuah negara itu dan pengorbanan para pejuang yang tidak ternilai.

10. Ola Bola (2016)

Filem Patriotik

Ola Bola merupakan kisah benar tentang pasukan bola sepak negara pada era 80an yang berdepan dengan cabaran dek perbezaan pendapat diantara pemain-pemainnya. Mereka tewas dalam perlawanan penting kerana perbalahan dan masalah peribadi oleh setiap karakter yang menambahkan lagi konflik. Mempunyai hanya satu peluang lagi untuk menebus kekalahan yang sebelumnya, mereka bersatu untuk mengharumkan nama negara. Ola Bola bukan sahaja mengangkat semangat kesukanan, namun turut menyelitkan sifat toleransi dan perpaduan antara kaum. Filem ini wajar diangkat sebagai filem patriotik Malaysia kerana menyelitkan banyak nilai-nilai perpaduan yang boleh dicontohi oleh rakyat Malaysia.

Dalam banyak-banyak filem patriotik, yang mana satu kegemaran korang? Jangan lupa komen dan kongsi dengan kami. Selamat menonton!

0
0
0
Total
0

Tinggalkan Komen Anda